Amari Hotel Mula Operasi Menjelang Akhir Tahun

By March 18, 2016 Uncategorized No Comments
JOHOR BAHARU, 15 Mac (Bernama) — Amari Hotel, yang dikendalikan ONYX Hospitality Group (ONYX), akan memulakan operasinya menjelang akhir tahun ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Peter Henley.

Amari Hotel Johor Baharu adalah sebahagian daripada projek Suasana Iskandar, satu pembangunan komersil komprehensif RM500 juta yang sedang dibangunkan United Malayan Land Bhd (UMLand), selain kemunculan jenama Amari yang pertama di Malaysia.

Henley berkata, apabila siap hotel itu akan menawarkan 242 bilik dan suite, selain bilik mesyuarat, spa dan suite.

“Kami bangga dengan kerjasama kami dengan UMLand untuk pembangunan hartanah Amari pertama di Malaysia.

“Sebagai kumpulan hospitaliti berpangkalan di Thailand, kehadiran kami di negara jiran boleh dianggap sebagai satu kejayaan kepada kami,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyempurnaan paras tertinggi hotel berkenaan di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Pelancongan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Pengerusi UMLand, Tun Musa Hitam dan Pengarah Urusan Kumpulan UMLand, Dennis Ng turut hadir.

Sementara itu, Tee berkata, kerajaan yakin sektor hospitaliti akan terus berkembang tahun ini seiring dengan permintaan kukuh daripada pelancong.

“Peningkatan jumlah hotel dan bilik hotel mencerminkan permintaan untuk perkhidmatan hotel di Johor akan terus bertambah disebabkan pembangunan pesat industri pelancongan dan aktiviti perdagangan, khususnya di Johor Baharu,” tambahnya.

Menurutnya, jumlah hotel berstatus bintang di Johor bertambah 15.4 peratus kepada 105 hotel tahun lepas berbanding 91 hotel pada 2014 dan jumlah bilik meningkat kepada 13,381 tahun lalu berbanding 11,290 pada tahun sebelumnya.

— BERNAMA

 

Leave a Reply